Wednesday, 6 July 2011

Tujuh Perkara Ganjil Jasad Di Dalam Kubur


Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, “Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.”

“ Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?” tanya pemuda itu.

” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain,” jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, ” Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai anak muda, mereka itulahgolongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,”

Pemuda itu menyambung lagi, ” Wahai tuan guru, golongan yangketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.”

” Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda,” balas ahli ibadah itu lagi.

” Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah itu, ” Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya.”

” Kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya,” sambung pemuda itu.

” Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda,” jelas ahli ibadah tersebut.

” Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,”

” Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya,” jawab ahli ibadah tadi.

” Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?” tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya.”

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. 

Meninggalkan dunia dengan senyuman

Monday, 4 July 2011

Untukmu Kaum Hawa.....





Sudah hampir setahun aku memakai tudung.
Dan selama setahun juga soalan dan kata-kata ini diajukan padaku:
"Wah, dah bertudung! Kenapa kau bertudung?"
"Apa mimpi kau bertudung?"


"Baguslah kau dah insaf, macam poyo!"

"Macam baik sangat pakai tudung."
"Aku rasa kau lagi cantik tak bertudung."
"Bertudung bukan untuk orang kampung je ke?"



Macam-macam kerenah telah ku jumpa, tapi paling best sekali yang berkata begini pada ku,
"Baru MASUK ISLAM ke kak?"
Dan kenapa aku memilih untuk bertudung? Biar aku kongsikan bersama mengapa aku bertudung.
Peristiwa Pertama
Hampir setahun lalu, aku duduk berhampiran tingkap memandang ke luar.
Aku melihat burung-burung yang berterbangan dan awan yang biru di kaki langit.
Tiba-tiba hatiku berdetik, kalau suatu hari nanti jika aku ditimpa masalah macam mana ye?
Adakah kawan-kawanku akan bersama denganku? Atau mereka akan menjauhkan diri?
Hampir sejam aku memikirkan jawapannya.
Dan dengan itu, hatiku berdetik, apabila aku dilanda masalah, kawan-kawanku mungkin lari, tetapi Allah sentiasa bersamaku.
Dia sentiasa bersama hamba-hambanya.
"..cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung, maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) daripada Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." - Surah Ali -Imran:173-174
Peristiwa Kedua
Aku membaca sebuah berita kematian. Seorang pemuda yang lebih muda daripadaku meninggal dunia (sebab kematian tidak diingati).
Hatiku berdetik, bagaimana aku kelak di dalam kubur.
Pasti aku diazab dengan azab yang paling pedih. Kerana amalanku tidak sebagus mana.
Peristiwa Ketiga
Aku melihat berita di televisyen. Kisah seorang remaja wanita yang rosak akhlaknya.
Aku melihat ibu bapa remaja tersebut menangis semahu-mahunya megenang perilaku anaknya. Aku menjadi sebak.
Lantas terdetik di hatiku, bagaimana anakku kelak, akan beginikah sikapnya nanti?
Rentetan-rentetan ini yang membuka hatiku untuk bertudung. Agar aku mendapat keredhaan Allah SWT.
Apabila aku bertudung aku merasa ketenangan. Ketenangan yang ku cari selama ini.
Diriku tidak sempurna mana kerana aku insan biasa yang punya kelemahan dan kekurangan. Aku masih memperbaiki kelemahan diri.
Dekatkanlah diri dengan Penciptamu, kerana di situ ketenanganmu.
Peganglah pada tali yang satu; tali agamamu kerana tali agamamu tidak akan putus dan ia akan membantumu.
Jadi selepas ini, aku berharap tidak akan ada lagi yang bertanya mengapa aku bertudung.
Sebaliknya, ucapkanlah Alhamdullilah apabila melihat perubahanku.

Biodata Penulis

Adibah Amalina adalah seorang pelajar di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Melaka. Kita doakan Adibah terus istiqamah dan mengajak sahabat lain untuk berubah sepertinya. Tahniah!



sumber

Tidur / Rahsia sembahyang 5 waktu / Puasa




Imam Ibn Qaiyim pernah berkata:

"Sesiapa yang meneliti cara tidur dan jaga Rasulullah saw, akan mendapati bahawa tidur baginda adalah yang paling seimbang dan paling bermanafaat untuk badan, anggota dan kekuatan.Baginda tidak pernah tidur lebih dari kadar yang dihajati dan tidak pernah mencegah dirinya daripada kadar keperluannya."

Rasulullah saw biasanya mengatur waktu tidurnya:
"Sehampir-hampir Allah kepada hamba-Nya ialah di bahagian akhir malam. Dan sekiranya kamu berkuasa untuk menjadikan diri kamu salah seorang yang mengingati Allah di waktu ini maka lakukanlah."
(Riwayat Tarmizi dan Abu Daud)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
"Hendaklah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan amalan orang-orang yang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam itu mendekatkan diri kepada Allah, menutup segala dosa, menghilangkan penyakit kepada tubuh badan dan menjauhi kekejian."
(Hadith Riwayat Tarmizi)

Dalam kitab Miskatul Masabih ada disebutkan:
Tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah saw ada juga melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajud di malam hari.

Ibn Qaiyim menambah:
"Tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya) malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat. Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar)."

Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur diwaktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya:"Bangun! Apakah kamu tidur diwaktu rezeki dibahagi-bahagikan?" Setengah ulama mengatakan: "Sesiapa yang tidur selepas Asar sehingga terganggu kewarasannya maka janganlah ia mencaci selain daripada dirinya sendiri.

Ali bin Abi Talib r.a. berkata,
"Sewaktu Rasullullah saw duduk bersama para sahabat Muhajirin dan Ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata, 'Ya Muhammad, kami hendak bertanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.' Lalu Rasullullah saw bersabda, 'Silakan bertanya.'

Berkata orang Yahudi,

'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.'

Sabda Rasullullah saw,

'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada Tuhannya.

Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi.

Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam a.s. Maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas dan kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah
akan mengkabulkan permintaannya.

Sembahyang Isyak itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul sebelumku.

Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari. Ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara duatanduk syaitan dan di situ sujudnya setiap orang kafir.'

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah saw, lalu mereka berkata, 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang.'

Rasullullah saw bersabda,
'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan. Sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam. Orang-orang mukmin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.'

Sabda Rasullullah saw lagi,
'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi. Orang-orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.' Selepas itu Rasullullah saw membaca ayat yang bermaksud, 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan. Sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam a.s. diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu daripada Allah, maka Allah akan perkenankan.'

Sabda Rasullullah saw,
'Sembahyang Isyak (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitujuga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isyak berjamaah, Allah SWT haramkan dirinya daripada terkena nyala api neraka dan diberikan kepadanya cahaya untuk menyeberangi Titian Sirath.'

Sabda Rasullullah saw seterusnya,
'Sembahyang Subuh pula, seseorang mukmin yang mengerjakan sembahyang Subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberikan kepadanya oleh Allah SWT dua
kebebasan iaitu:

  1. Dibebaskan daripada api neraka.
  2. Dibebaskan dari nifaq.
Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan daripada Rasullullah saw, maka mereka berkata, 'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (saw). Kini katakan pula kepada kami semua,

kenapakah Allah SWT mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'

Sabda Rasullullah saw,
'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon khuldi yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam a.s. selama 30 hari. Kemudian Allah SWT mewajibkan ke atas keturunan Adam a.s. berlapar selama 30 hari. Sementara diizin makan di waktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah SWT kepada makhluk-Nya.'

Kata orang Yahudi lagi,
'Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada kami mengenai ganjaran pahala yang diperolehi daripada berpuasa itu.'

Sabda Rasullullah saw,
'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah SWT, dia akan diberikan oleh Allah SWT 7 perkara:

  1. Akan dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh daripada makanan yang haram).
  2. Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya.
  3. Diberi oleh Allah sebaik-baik amal.
  4. Dijauhkan daripada merasa lapar dan dahaga.
  5.  Diringankan baginya siksa kubur (siksa yang amat mengerikan).
  6.  Diberikan cahaya oleh Allah SWT pada hari Kiamat untuk menyeberang Titian Sirath.
  7. Allah SWT akan memberinya kemudian di syurga.'
Kata orang Yahudi,
'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakan kepada kami kelebihanmu di antara semua para nabi.'

Sabda Rasullullah saw,
'Seorang nabi menggunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat kepada umat saya di hari kiamat).'

Kata orang Yahudi,
'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah(kami percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan engkau utusan Allah).'

Sedikit peringatan untuk kita semua:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."
(Surah Al-Baqarah: ayat 155)

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."
(Surah Al-Baqarah: ayat 286)



sumber